09.28.07
Salam Pertemuan
Assalammualaikum dan salam sejahtera semua. Bermula kembali semester baru di Jordan. Alhamdulillah setelah kembali ke Malaysia untuk hampir sebulan, kini diri ini kembali berada di bumi yang menjanjikan seribu satu kenangan untuk dibina dan dikutip sebagai bekalan hidup… Setelah sekian lama memikirkan untuk membina laman yang baru, kali ini baru berkesempatan untuk melakukannya. Bukan tidak ada kerja yang hendak dilakukan, tetapi mengambil sedikit peluang untuk mencoretkan serba sedikit tentang kehidupan ini. Untuk mereka yang ingin mengambil pengalaman ini sebagai panduan. Mungkin diri ini tidak sehebat orang lain, tetapi bagi aku diriku adalah juara yanag tidak mungkin boleh dikalahkan.
Kadang-kadang terfikir juga tentang kehidupan ini. Pelbagai ragam dan perangai manusia dapat kita lihat. Dari sebaik-baik manusia hinggalah kepada mereka yang dianggap binatang bertopengkan manusia. Sekadar membawa semua untuk merenung satu perkara tentang kehidupan ini. Mengapa manusia selalu mengidamkan sesuatu yang bukan hak milik mereka? Tetapi setelah mendapatnya, mereka akan melupakannya? Mengapa kita selalu iri hati terhadap kejayaan orang lain? Tetapi tidak mahu berusaha untuk lebih berjaya dari mereka sebaliknya mengkhianati mereka? Adakah itu sikap seorang manusia yang digelar insan? Ataukah sebaliknya?
Kita adalah makhluk yang paling mulia telah dihantar ke bumi ini. Tetapi dalam masa yang sama kita sendiri telah meletakkan diri kita di tempat paling rendah sekali. Apakah kita ini makhluk yang hebat? Kita diberikan akal fikiran untuk digunakan bagi kebaikkan semua. Tetapi mengapa ada yang sanggup menggunakan akal fikiran demi menjatuhkan dan memusnahkan bangsa mereka sendiri? Inilah sekelumit daripada hakikat kehidupan ini. Apa yang kita anggap indah itu tidak semuanya indah. Tetapi kita masih lagi berpeluang untuk menjadikan hidup ini indah. Bagaimana caranya? Tepuk dada, tanyalah iman.