10.06.07

Inikah Ramadhan terakhir ku?

Posted in Kehidupan at 8:58 pm by khairulanwaribrahim

Assalammualaikum dan selamat berpuasa semua. Hari ini masuklah hari ke 25 Ramadhan 1428H. Tinggal kira-kira 5 hari sahaja lagi sebelum bulan yang mulia ini meniggalkan kita semua. Setelah hampir 30 hari yang lalu kita semua berpuasa dan melakukan amalan di dalam bulan yang mulia. Kini tibalah masanya untuk kita merenungi kembali apa yang telah kita lakukan sepanjang bulan ini. Adakah kita telah banyak melakukan amalan? Adakah kita telah mengambil kesempatan yang diberikan oleh-Nya untuk kita beribadah dan menghampirkan diri kepada-Nya?

Jikalau ya jawapannya, maka beruntunglah mereka. Jikalau tidak, rasanya kita telah banyak kerugian. Samalah seperti diri yang menulis ini. Aku rasakan diri ini seperti langsung tidak berada dalam bulan Ramadhan. Masih melakukan perkara-perkara yang tidak sepatutnya dilakukan. Apakah amalan-amalan telah diterima? Sekadar amalan yang sedikit adakah diri ini mampu untuk menyucikan diri yang telah ternoda ini? Seringkali persoalan seperti ini bermain di minda. Tetapi tidak direalisasikan oleh diri. Mengapa? Adakah hati ini terlalu jahil? Ataukah nafsu yang menguasai diri?

Kuharapkan ini bukanlah Ramadhan terakhir buatku. Andai kata inilah ramadhan terakhir, maka kau rahmatilah aku ya Allah. Janganlah kau matikan aku dalam keadaan yang tidak beriman. Seringkali diri ini memberi nasihat yang panjang lebar kepada orang lain, tetapi tidak pula kepada diri. Mungkin inilah sifat orang-orang yang tidak akan diberikan petunjuk ( Ya Allah kau jauhkanlah diri ini daripada perkara-perkara yang engkau larang. )

Semoga dengan sisa-sisa yang ada ini akan digunakan untuk menggandakan amalan. Agar kita semua tidak menyesal di kemudian hari. Semoga Ramadhan ini memberi makna kepada kita semua.

Ramadhan Kareem……