03.21.08

Telah Perginya Seorang Kekasih

Posted in Kehidupan tagged at 11:17 am by khairulanwaribrahim

Makan Rasulullah

Assalammualaikum….

Dalam kemeriahan kita menyambut sambutan Maulidur Rasul, kita semakin terlupa tentang hakikat sebenarnya. Sambutan yang dulunya diadakan demi mengingati seorang kekasih yang telah lama pergi kini hanya tinggal suatu sambutan yang dipenuhi dengan perarakan dan penyampaian hadiah. Adakah itu nilai cinta kepadanya? Cukupkan sekadar itu?

Diri ini masih lagi tidak memahami situasi dunia yang fana ini. Diri ini yang semakin hanyut dengan arus dunia terus bertanya; apakah yang telah aku lakukan demi membuktikan kecintaan yang amat? Adakah diri ini mencintai Kekasih tersebut melebihi kekasih yang lain? Adakah semua perkara yang diwasiatkan telah diri ini laksanakan? Adakah, apakah, dan sudahkah? Pelbagai persoalan terlontar begitu sahaja. Tanpa sebarang jawapan.

Terbaca satu artikel dalam saifulislam.com berkaitan perayaan ini. Dan diri ini sekali lagi tertanya; Adakah diri ini benar mencinta baginda melebihi segalanya? Ataukah pernah walau sedetik terasa di dalam kalbu ini? Rasanya masih belum untuk menjawab persoalan tersebut. Diri ini terlalu hanyut dengan dunia. Terlalu asyik dengan perhiasan dunia. Sehingga terlupa ada yang lebih menyayangi diri ini melebihi segalanya. Tetapi untuk mencapai cinta tersebut perlulah mengenepikan segala cinta yang lain. Mampukah diri ini?

CINTAILAH BAGINDA MELEBIHI SEGALANYA. KERANA ITU ADALAH SALAH SATU DARI CINTA YANG PASTI KEKAL SELAMANYA. Tidak akan pernah bosan atau benci. Tidak seperti cintakan manusia lain.

‘Ya Allah, diri ini terasa sungguh kerdil di hadapan-Mu. Tetapi diri ini tidak mampu untuk mencapai cinta itu tanpa rahmat dan kasih sayang-Mu. Kurniakanlah rasa cinta itu atas dasar cinta kepada-Mu. Dan sambutlah cinta ini. Semoga ianya kekal selamanya. Hatta selepas diri ini kembali kepada-Mu wahai Pencipta Sekalian Alam’

03.04.08

Bila manusia bukan lagi manusia

Posted in Kehidupan tagged , , at 1:51 pm by khairulanwaribrahim

Gaza Berdarah

        Assalammualaikum dan salam sejahtera semua. Sebagaimana yang kita semua sedia maklum bahawa negara kita Malaysia akan mengadakan Pilihanraya Umum ke-12 (PRU-12) yang dijangkakan akan berlangsung pada 8 Mac 2008. Sedang dalam kita semua sedang sibuk berkempen dan memikirkan calon mana yang hendak dipilih, kita semua seakan lupa tentang penderitaan saudara kita yang semakin hari semakin merana di bumi Palestin.

Palestin yang dahulunya adalah salah satu dari negeri Islam telah lam dicerobohi dan dijajah oleh Yahudi laknatullah. Sedarkah kita bahawa sehingga ke saat ini hampir 115 orang rakyat Palestin telah dibunuh dalam masa 6 hari? Sedarkah bahawa sehingga saat ini, pemimpin negara haram Israel sedang giat memikirkan bagaiman hendak membunuh penduduk Gaza supaya mereka dapat mengambil tanah tersebut untuk dijadikan negara mereka? Inilah yang merisaukan kita. Kita berasa selesa di negara kita sendiri tetapi lupa terhadap penderitaan saudara kita di sana. Di manakah nilai kemanusiaan kita? Apakah sumbangan kita kepada mereka? Cubalah fikirkan persoalan ini.

Kita terlalu leka dengan hiburan hasil sogokan musuh Islam. Kita terlalu leka dengan keduniaan sehingga mengenepikan akhirat. Kita terlalu sibuk bergembira sehingga kita terlupa untuk berfikir dan bermuhasabah tentang kesilapan lalu. Kita terlalu alpa sehingga lupa untuk merendah diri. Kita sudah terlanjur jauh dari simpang yang sebenar.

Oleh itu, saya ingin mengajak diri saya dan rakan-rakan sekalian berfikir sejenak tentang kejadiaan kita di atas muka bumi ini. Apakah kita telah menjadi kahlifah yang berjaya? Apakah tugasan kita sebagai pentadbir ini telah kita laksanakan dengan jayanya? Adakah kita telah menjaga amanah kita? Adakah kita?

Ingatlah bahawa Alla tidak menjadikan bangsa arab itu lebih daripada bangsa lain atau bangsa lain melebihi bangsa arab. Tetapi Allah melebihkan seseorang itu dengan iman dan taqwa kepada-Nya. Hanya itulah yang membezakan kita semua.

Jikalau semua persoalan di atas anda dapat menjawab dengan cemerlang, maka anda layak digelar ‘manusia’. Jikalau tidak, tiada apa gelaran yang layak bagi diri ini dan anda semua. Maka fikirkanlah. Semoga kita semua beroleh kejayaan di dunia dan akhirat.

Takbir, ALLAHUAKBAR!!!!!